Kerja baik pulih bumbung Pangsapuri Putra Ria dianggar bernilai RM120,000
KUALA LUMPUR – Kerja baik pulih bumbung Pangsapuri Putra Ria di sini yang rosak akibat kejadian ribut pada Sabtu lalu dianggarkan bernilai RM120,000.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil akan berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh bagi menyegerakan kerja-kerja baik pulih itu.
“Kita lihat kerja untuk baik pulih bagi kedua-dua blok ini dijangka menelan belanja sekurang-kurangnya RM120,000 dan saya akan berbincang dengan Datuk Bandar petang ini untuk menyegerakan kerja-kerja baik pulih.
“Saya harap kerja-kerja dapat dimulakan sesegera mungkin, kalau boleh kita nak mulakan esok tapi saya perlu adakan perbincangan sedikit dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk penyelarasan daripada segi penggunaan peruntukan itu,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan menghulurkan sumbangan kepada penduduk terkesan dengan kejadian itu.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi turut berkata, pihak pengurusan pangsapuri telah diminta memeriksa semua struktur bumbung di tiga blok pangsapuri itu supaya tindakan komprehensif boleh diambil sekiranya terdapat risiko kepada penduduk.
Dalam kejadian ribut Sabtu lalu, lapan buah rumah rosak teruk di bahagian bumbung manakala lapan kenderaan iaitu lima motosikal dan tiga kereta di kawasan parkir rosak akibat ditimpa cebisan bumbung.