Jenayah & Mahkamah

Dua pegawai kanan PDRM didakwa rasuah RM1.25 juta

Untuk tutup kes jenayah berkaitan pembelian senjata api oleh seorang warga Israel

KUALA LUMPUR – Dua pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM1.25 juta bagi menutup kes jenayah ahli perniagaan berkaitan pembelian senjata api oleh seorang warga Israel.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency JSJK Bukit Aman, Deputi Superintendan Suhairon Abdullah, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Khiam Kong dan Suhairon didakwa bersama-sama sebagai pegawai kanan PDRM, secara rasuah bersetuju untuk menerima suapan RM1 juta daripada Khoo Zixian, 28, untuk membantu menutup siasatan jenayah ke atasnya berkaitan kes bawah seksyen 120 Kanun Keseksaan (kes keselamatan negara).

Mengikut pertuduhan kedua, mereka didakwa telah menerima suapan wang itu, daripada Khoo Zixian untuk dorongan serupa di ruang letak kereta Menara KPJ pada jam 4.29 hingga 4.40 petang hari sama.

Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574].

Khiam Kong turut didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu bersetuju untuk memperoleh rasuah dan telah menerima suapan RM250,000 daripada individu sama sebagai dorongan serupa, berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kes menipu).

Dua kes itu juga dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) akta sama dengan hukuman serupa.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, tiga pegawai berpangkat Asisten Komisioner, Deputi Superintendan dan Inspektor dari JSJK Bukit Aman, ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini, bagi membantu siasatan kes pemerasan RM1.25 juta.

Selain itu, dua lagi turut ditahan ialah masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan. Berikutan penahanan lima individu terbabit, polis kemudian memberkas seorang Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan sama.

Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan polis kerana disyaki melakukan pemerasan terhadap individu yang disiasat oleh mereka berhubung kes mata wang kripto.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Show More

Related Articles

Back to top button