Serangan balai polis, dua pelajar IPT dibebaskan
JOHOR BAHRU – Dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, sudah dibebaskan tanpa syarat, semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, mereka dibebaskan setelah mendapat arahan dari Pejabat Peguam Negara.
“Polis Johor ingin mengesahkan dua pelajar yang masing-masing berusia 22 dan 21 tahun yang juga penuntut sebuah kolej swasta dan institusi latihan yang ditahan pada 17 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram, sudah dibebaskan.
“Mereka berdua dibebaskan dengan tanpa syarat semalam, selepas mendapat arahan dari Pejabat Peguam Negara.
“Bagaimanapun siasatan terhadap lima ahli keluarga suspek masih diteruskan berikutan tahanan reman mereka hanya akan tamat pada 24 Mei atau Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian serangan pada pukul 2.54 pagi Jumaat lalu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.