Pelan induk perindustrian sasar gaji minimum RM4,500 menjelang 2030
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi meningkatkan gaji rakyat ke tahap lebih bermakna, pelan induk perindustrian telah dirangka dengan menyasarkan pendapatan bulanan pekerja industri pembuatan meningkat minimum RM4,500 menjelang 2030.
Perdana Menteri berkata, sehubungan itu industri tempatan akan diberi nilai tambah khususnya sektor semikonduktor yang sedang mendapat tempat di mata dunia.
“Bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran di kalangan anak muda, kita juga telah laksanakan kerjasama dengan gergasi industri dalam menstruktur semula pendidikan TVET negara.
“Agenda Kecerdasan Buatan (AI) juga diberi keutamaan melalui penubuhan fakulti AI pertama negara,” katanya dalam Perutusan Negara hari ini.
Dalam pada itu katanya, Khazanah Nasional Berhad juga telah menggerakkan usaha melahirkan usahawan baharu sektor berpertumbuhan tinggi dengan dana RM1 bilion.
“Ikhtiar paling utama ialah, hanya di bawah Kerajaan Madani yang serius mahu menambah pendapatan rakyat. Satu, hal awal yang saya perjuangkan adalah untuk menoktahkan kemiskinan tegar. Kendatipun diperlekeh, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) tetap dilaksana bagi menambah pendapatan golongan miskin tegar.
“Kini, kita dapat lihat kejayaan pelaksanaan IPR. Dua, gaji dan elaun tetap penjawat awam akandit ambah baik setelah belasan tahun tidak disemak. Seperti yang saya umumkan pada 1 Mei lalu, penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 15 peratus mulai 1 Disember depan.
“Tiga, kita serius untuk menggubal Dasar Gaji Progresif. Kemelut gaji rendah khususnya menyangkut golongan muda dan para graduan akan dinoktahkan tidak lama lagi,” katanya.