Sukan

Skuad double negara mara ke separuh akhir Piala Dunia ISTAF

KUALA LUMPUR – Pasukan double sepak takraw negara mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 (ISTAF) selepas menang tie-break ke atas Korea.

Skuad double sepak takraw negara menurunkan Norizat Nordin dan Aidil Aiman bagi mengalas cabaran untuk ke separuh akhir acara double hari ini.

Jurulatih Negara, Zulkarnain Arif berkata, pasukan negara mempamirkan persembahan yang baik berbanding semalam dengan kemenangan yang dicipta hari ini.

“Agak mengusarkan kerana semalam Aidil mengalami kecederaan akan tetapi dia membuktikan dia semakin pulih dengan servis-servis yang menjadi hari ini.

“Korea juga tidak kurang hebat dengan kurang melakukan kesilapan dan penerimaan bola pertama serta kawalan yang baik, akan tetapi kemenangan berpihak pada kita,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune hari ini.

Zulkairnain yakin dengan anak buahnya untuk bermain dengan lebih baik malam ini di peringkat separuh akhir.

Pasukan Malaysia menang pada set yang pertama 15-11 akan tetapi pada set ke dua pasukan Korea berjaya mengheret ke set penentuan apabila menang set yang ke dua 17-15.

Di set penentuan ternyata pengalaman dan ketenangan pasukan double negara tidak mampu diatasi skuad double Korea walaupun membuat penukaran pemain.

Pasukan Malaysia terus menguasai set ke 3 dengan 15 – 9 sekaligus mara ke separuh akhir.

Show More

Related Articles

Back to top button