Berita SemasaSukan

Senarai akhir pemain sepak takraw bawa cabaran negara ke Sukan SEA dan Asia dijangka diumumkan malam ini

KUALA LUMPUR – Senarai akhir pemain sepak takraw yang bakal menggalas misi membawa pulang pingat emas dalam kejohanan Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia di China dijangka diumumkan malam ini.

Menurut sumber Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), seramai 25 pemain terbaik daripada 37 pemain yang terpilih dalam sesi ujian baru-baru ini akan dipilih bagi membawa cabaran negara.

“Senarai ini akan diumumkan malam ini selepas ketua jurulatih dan jurulatih-jurulatih lain membentangkan senarai pemain di Pejabat PSM,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Sementara itu, seorang jurulatih skuad kebangsaan yang dihubungi Malaysia Tribune, Zulkarnain Arif memberi bayangan barisan pemain yang dipilih kali ini mampu membawa pulang pingat emas dalam acara sepak takraw kepada negara.

“Dengan gandingan ketua jurulatih Ahmad Jais Baharom yang berjaya membawa skuad Johor Tigris menjuarai Piala Liga Super Sepak Takraw (STL) 2022 dan Wadi Loh yang membawa ATM Guardian sebagai satu pasukan yang disegani kawan dan lawan, impian peminat sukan negara untuk melihat Malaysia membawa pulang pingat emas adalah cerah.

“Skuad yang dibawa untuk misi kali ini benar-benar mantap dengan gabungan pemain lama dan baharu,” katanya yang pernah memenagi pingat emas Sukan Asia 2005.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pelantikannya sebagai sebahagian daripada barisan kejurulatihan negara, Zulkarnain mengucapkan syukur dan teruja diberi peranan baharu itu.

“Saya menerima tawaran ini dengan rasa rendah diri dan berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk membimbing skuad negara walaupun masih muda,” katanya yang baru berusia 41 tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button