Lelaki maut, dipercayai terjun dari Jambatan Putrajaya
PUTRAJAYA – Seorang lelaki ditemukan maut setelah dipercayai terjun dari Jambatan Putrajaya, di sini malam tadi.
Komander Operasi, PBK I Khirel Azman Not memberitahu, pihaknya menerima satu panggilan kecemasan pada pukul 12.26 pagi mengenai kejadian cubaan terjun dari jambatan tersebut.
“Sehubungan itu, seramai 12 anggota bersama dari BBP Presint 7 digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, hari ini.
Setibanya di lokasi, anggota dimaklumkan orang awam bahawa mangsa telah terjun, dan operasi mencari dimulakan.
“Operasi mencari dan menyelamat di jalankan oleh pihak Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba dengan dibantu pasukan Polis Marin.
“Anggota bomba membuat tinjauan dari bahagian atas dan bahagian bawah, manakala pasukan Polis Marin membuat selaman dengan menggunakan 2 buah bot marin,” katanya lagi.
Mayat mangsa, seorang lelaki berusia 23 tahun, kemudiannya berjaya ditemukan pada kira-kira pukul 2.32 pagi, dan kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.