PM X

Kerajaan unjur peningkatan hasil cukai negara sebanyak RM4.5 bilion – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengunjurkan peningkatan hasil cukai negara sebanyak RM4.5 bilion.

Perdana Menteri berkata, ia susulan penambahbaikan kepada cukai perkhidmatan selain pelaksanaan cukai barang bernilai rendah dan cukai keuntungan modal bagi saham tidak tersenarai.

“Perkara awal yang kita laksanakan bagi membuktikan komitmen kita terhadap reformasi fiskal adalah penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).

“Sasaran FRA adalah untuk menurunkan paras hutang untuk tidak melebihi 60 peratus keluaran dasar negara kasar (KDNK) dan defisit fiskal 3 peratus dalam jangka masa sederhana.

“Kerajaan juga mula memperluas asas hasil melalui reformasi percukaian. Cukai diperkenalkan tidak membebankan dan bersifat progresif, yakni dikenakan mengikut pendapatan supaya rakyat susah tidak dikenakan cukai yang sama dengan golongan kaya,” katanya dalam Perutusan Negara hari ini.

Dalam pada itu Anwar berkata, kerajaan telah menjana penjimatan sebanyak RM4 bilion hasil penyasaran subsidi mengikut penggunaan elektrik.

Perdana Menteri berkata, pada tahun ini, subsidi elektrik ditambah baik dengan 85 peratus rakyat tidak terjejas dan kekal menikmati subsidi sementara baki 15 peratus yang menggunakan elektrik melebihi 600 kilowat-jam tidak lagi layak menerima subsidi.

“Dalam soal subsidi, kerajaan perlu mengambil pendekatan berani untuk menyasarkan semula subsidi. Tindakan kita dalam menyasarkan semula subsidi memberi penjimatan kepada wang rakyat yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga dapat menjimatkan RM100 juta sebulan susulan pengapungan harga ayam dan tidak lagi disubsidi.

Beliau berkata, melalui langkah itu bekalan ayam bukan sahaja stabil tetapi harga ayam jauh lebih
rendah ketimbang sebelum ini.

Show More

Related Articles

Back to top button