Sukan

Oleksandr Usyk juara mutlak tinju heavyweight dunia

RIYADH – Oleksandr Usyk dari Ukraine mengalahkan Tyson Fury memenangi pertarungan tinju kategori heavyweight bagi semua tali pinggang, sekali gus dinobatkan sebagai juara heavyweight mutlak dunia.

Lebih menarik, kemenangan bagi semua tali pinggang tersebut adalah yang pertama dalam tempoh 25 tahun selepas kali terakhir dilakukan oleh Lennox Lewis yang mengalahkan Evander Holyfield pada 1999.

Fury dari Britain yang memulakan perlawanan dengan corak agresif, tumbang di pusingan kesembilan selepas menerima tumbukkan bertali arus daripada Usyk, namun diselamatkan oleh loceng di hujung pusingan tersebut.

Usyk yang juga bekas juara mutlak cruiserweight dunia, boleh mendakwa dia adalah peninju terbaik heavyweight dalam eranya, walaupun pertarungan ulangan pada Oktober depan mungkin menyaksikan perubahan.

“Ia satu peluang besar buat saya, buat keluarga saya, buat negara saya,” kata Usyk, 37, yang menyertai tentera seketika selepas pencerobohan Russia.

“Ia satu masa hebat, satu hari hebat,” katanya, menambah dia “bersedia bagi pertarungan ulangan,” katanya selepas pertarungan di sini, semalam.

Fury yang juga digelar ‘Gypsy King’ walaubagaimanapun percaya bahawa dia telah menenangi pertarungan tersebut.

“Saya percaya saya menang pertarungan ini, saya percaya dia menang beberapa pusingan, tetapi saya menang kebanyakan daripadanya.

“Anda tahu negaranya sedang berperang, jadi orang akan menyokong negara yang berperang tetapi jangan silap, saya menang pertarungan ini pada perkiraan saya dan saya akan kembali,” katanya.

Dua juri memihak kepada Usyk dengan keputusan 115-112 dan 114-113 manakala juri ketiga memberikan kemenangan kepada Fury 114-113.

Kemenangan itu melebarkan rekod profesional Usyk kepada 22-0, manakala ia adalah kekalahan pertama Fury dengan rekod 34-1-1.

Antara yang turut menyaksikan pertarungan itu, legenda tinju dunia, Wladimir Klitschko serta bintang bola sepak yang berpangkalan di Arab Saudi, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Show More

Related Articles

Back to top button