Masak mi segera di stesyen minyak, 15 ditahan
Kesemuanya dibebaskan dengan jaminan polis setelah dirakam percakapan
BENTONG – Polis telah menahan 15 individu bagi membantu siasatan kes melibatkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan 5 wanita.
Tambahnya, kesemua mereka berusia antara 23 hingga 28 tahun itu ditahan pada 18 Mei lalu dan telah dirakam percakapan.
Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.
Empat saksi kejadian juga telah dirakam percakapan.
Beliau menambah, pihaknya kini sedang dalam proses melengkapkan siasatan dan merakam percakapan saksi kejadian.
Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya dalam masa terdekat.
Pada 13 Mei lalu, sebuah video berdurasi 50 saat yang memaparkan sekumpulan individu sedang memasak mi segera di sebuah stesyen minyak menjadi tular di media sosial.
Klip video tersebut mengundang kecaman netizen kerana aksi berkenaan dianggap berbahaya dan mengganggu keselesaan pengguna lain.