Ketua Pendakwaraya ICC mohon waran tangkap ke atas Netanyahu, Sinwar
NEW YORK – Satu panel hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas Ketua Hamas, Yahya Sinwar dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berikutan kejadian Oktober 7 tahun lepas dan seterusnya perang di Gaza, Palestin.
Ketua Pendakwaraya ICC, Karim Khan berkata, pihaknya turut telah memohon waran tangkap ke atas tiga lagi individu iaitu Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant; ketua sayap politik Hamas, Ismael Haniyeh dan komander Briged Al-Qassam, Mohammed Diab Ibrahim al-Masri yang lebih dikenali sebagai Mohamed Dief.
Karim dilaporkan berkata demikian dalam satu temubual eksklusif bersama Christiane Amanpour dari rangkaian CNN, hari ini.
Tuduhan yang dikenakan ke atas Netanyahu dan Gallant termasuk “penghapusan, menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan, termasuk menafikan bekalan bantuan kemanusiaan, dan dengan sengaja menyasarkan orang awam dalam konflik.”
“Sementara itu, tuduhan ke atas Yahya, Ismail dan Mohamed Dief pula termasuk ‘penghapusan, pembunuhan, penahanan tebusan, rogol dan serangan seksual sewaktu dalam tahanan,” kata Karim dalam temubual tersebut.
Netanyahu sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak akan mematuhi sebarang keputusan ICC, kerana mahkamah antarabangsa tersebut tidak mempunyai bidang kuasa di Israel.
Bagaimanapun, ICC mengakui mempunyai bidang kuasa meliputi Gaza, Timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat selepas pimpinan Palestin bersetuju menyertai Statut Rom pada 2015.