Berita SemasaPM X

Perdana Menteri teruja tiba di bumi kelahiran Imam Bukhari

SAMARKAND – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keterujaan apabila diberi kesempatan melawat tanah kelahiran dan makam Imam Bukhari di Bukhara, dekat sini.

Imam Bukhari atau nama sebenarnya Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Bardizbah merupakan penghafaz, penghimpun dan penyusun kepada puluhan ribu hadith sahih.

Ketibaan Anwar di kota lama yang menjadi tarikan pelancongan utama di Uzbekistan itu disambut oleh Timbalan Perdana Menterinya, Jamshid Khodjaev.

Sebelum itu, Perdana Menteri meluangkan masa melawat Samarkand, satu lagi kota lama yang terletak kira-kira 300 kilometer dari ibu kota, Tashkent.

Anwar Ibrahim ketika lawatan rasmi di Uzbekistan.
Anwar Ibrahim melawat makam Imam Bukhari ketika lawatan rasmi di Uzbekistan. Foto PMO.

“Saya diberi penerangan oleh Muzaffar Komilov, Penasihat Kepada Presiden Uzbekistan mengenai pembinaan kompleks seluas hampir lima hektar yang merangkumi pembinaan semula makam, muzium dan masjid yang boleh memuatkan sehingga 9,000 jemaah.

“Kami kemudian dibawa menziarah kubur Imam Bukhari. Saya dimaklumkan dinding makam akan dihiasi dengan hadis-hadis Imam Bukhari.

“Kunjungan ini amat mengesankan kerana sumbangan besar Imam Bukhari pada dunia Islam, utamanya dalam pengajian hadis,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya malam tadi.

Anwar berkata, di kompleks muzium itu, beliau berpeluang menatap naskah asal kitab-kitab hadis Imam Bukhari yang dihasilkan seawal abad ke 14, selain lukisan-lukisan yang menggambarkan perjalanan hidup tokoh besar itu.

“Pembangunan kompleks ini juga memberikan gambaran bahawa pemerintahan Uzbekistan sekarang telah kembali mengikat pada sejarah gemilang mereka sendiri, selepas sekian lama ditakluki Tsar dan rejim komunis,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button