Berita Semasa

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Saifuddin hulur sumbangan kepada anggota polis cedera

JOHOR BAHRU – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini, menziarahi Koperal Mohd Hasif Roslan di Hospital Sultan Ismail (HSI) yang cedera akibat ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, semalam.

Saifuddin dalam satu kenyataan di Facebook hari ini berkata, beliau telah meluangkan masa menyantuni anggota polis tersebut dan ahli keluarganya.

“Tiba sahaja di Johor tadi, saya terus bergegas ke Hospital Sultan Ismail bagi menziarahi Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan akibat di tembak dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram tempoh hari,” katanya.

Turut mengiringi Saifuddin Nasution ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor CP M Kumar.

Selain itu, Saifuddin berkata, pihaknya juga sempat memberi kata-kata semangat dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada anggota polis itu dan juga isterinya.

“Alhamdulillah syukur, keadaan Koperal Hasif sudah stabil. Semoga Koperal Hasif terus kuat semangat dan mampu meneruskan tugas semula. Sama-sama kita doakan kesembuhan dan afiyah buat beliau,” ujarnya.

Dalam serangan pada 2.45 pagi semalam, tiga maut iaitu dua anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek berusia 21 tahun. Sementara Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.

Show More

Related Articles

Back to top button