Jenayah & Mahkamah

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: KPN arah Cawangan Khas kenal pasti semua anggota Jemaah Islamiyah di Johor

JOHOR BAHRU – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengarahkan Cawangan Khas (SB) agar segera mengenal pasti semua anggota Jemaah Islamiyah (JI) di Johor susulan insiden seorang lelaki yang dikaitkan dengan kumpulan itu menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi.

Menurut Razarudin, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa lelaki berusia 21 tahun itu mempunyai agenda lain kerana merampas senjata api anggota polis yang diserang.

“Semua balai polis diarahkan meningkatkan pemantauan serta-merta. Kes ini juga kita akan maklumkan secara rasmi kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Istana Johor.

“Kita lihat mungkin suspek datang nak dapatkan senjata api untuk agenda yang kita masih tidak tahu lagi buat masa ini. Oleh itu, saya telah arahkan Cawangan Khas (SB) segera kenal pasti semua anggota JI di Johor untuk disiasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Razarudin turut memaklumkan suspek juga telah membuat persediaan dengan memakai pelindung badan dan dipercayai mahu merampas senjata api milik polis.

Katanya, lelaki itu menggunakan sejenis beg sebagai pelindung yang dilengkapi zink, kertas dan kain, dipercayai persediaan untuk bertempur dengan polis.

Pada sidang media di lokasi kejadian, beliau juga memaklumkan, semakan polis mendapati lelaki berusia 21 tahun itu tiada rekod jenayah, selain turut menahan dua pengadu dalam kes terbabit bagi membantu siasatan.

Sementara itu, anggota polis yang cedera ditembak dilaporkan berada dalam keadaan stabil, maklum Razarudin.

Terdahulu, Razarudin memaklumkan, polis menyerbu rumah keluarga lelaki berkenaan di Ulu Tiram dan pemeriksaan mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI di kediaman berkenaan.

Susulan itu kesemua lima ahli keluarga suspek berusia antara 19 tahun hingga 62 tahun, yang dipercayai anggota serpihan JI ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.

Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

Show More

Related Articles

Back to top button