Runtuhan tebing, KPKT arah MPS bertindak segera
CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MPS) diarahkan mengambil tindakan segera membaik pulih runtuhan tebing di perumahan mewah Cassia Garden Residence yang berisiko mengancam nyawa.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan segera dilaksanakan dengan memasang jeriji besi bagi mengelak runtuhan kerana pergerakan tanah masih aktif.
“MPS akan melakukan kerja-kerja pembaikan selain dipantau secara terus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Ambil tindakan segera, kita jangkakan dalam tempoh sebulan ini dapat disiapkan termasuk menimbus balik tanah dan memasang balik saluran pembetung yang runtuh,” katanya disini hari ini.
Sebelum ini, kira-kira 1,000 penduduk di perumahan itu bimbang keadaan runtuhan tebing di kawasan berhampiran mengundang bahaya dan berisiko mengancam nyawa.
Athirah turut berkata, berdasarkan pemerhatian awal, tiada keperluan untuk penduduk berpindah kerana ia masih selamat memandangkan jarak antara rumah berhampiran dengan kawasan runtuhan adalah kira-kira enam meter.
“Masih terdapat zon penampan dalam jarak bersesuaian dengan rumah penduduk,” katanya lagi.
Perumahan mewah Cassia menempatkan 220 unit kediaman bernilai RM1.2 juta yang mula diduduki sejak 13 tahun lalu.