Berita Semasa

Resit hina Islam perbuatan pemesan makanan, bukan petugas premis pizza

BAYAN LEPAS – Sehelai resit yang dikeluarkan sebuah premis menjual piza yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja-raja) menjadi tular di media sosial semalam.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz telah ke cawangan premis berkenaan di Sungai Ara dekat sini untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara terbabit.

Beliau dalam satu hantaran di akaun Facebooknya berkata, beliau telah berjumpa dengan penyelia cawangan berkenaan serta pengurus syarikat kawasan utara syarikat berkenaan.

“Isu tular resit premis piza cawangan Sungai Ara berkaitan ‘remark’ yang menghina Islam, saya telah ke premis cawangan berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Ramai yang salah faham seperti saya juga pada awalnya apabila menyangkakan resit berkenaan dikeluarkan oleh juruwang premis berkenaan.

“Sebenarnya resit yang ditularkan itu adalah resit pesanan dalam talian dan ada ruangan ‘remark’ yang disalahgunakan oleh individu yang membuat provokasi tersebut,” katanya.

Berikutan itu, Azrul kemudiannya tampil ke Balai Polis Teluk Kumbar untuk membuat laporan polis supaya siastaan lanjut boleh dibuat.

Tambahnya, pihak pengurusan syarikat piza berkenaan turut membuat laporan polis berhubung perkara terbabit.

“Saya berharap supaya pihak yang cuba melakukan provokasi 3R ini segera ditangkap,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu terbabit kelak.

Show More

Related Articles

Back to top button