Berita SemasaSukan

CEO Selangor FC buat laporan polis, dakwa terima ugutan terima nasib sama seperti Faisal Halim

PUTRAJAYA – Beberapa pegawai Selangor FC telah menerima ugutan daripada sumber tidak diketahui yang memberi amaran bahawa mereka akan menjadi sasaran seterusnya selepas insiden serangan ke atas Faisal Halim.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Johan Kamal Hamidon berkata, beliau telah memfailkan laporan polis mengenai ugutan tersebut bagi memastikan keselamatan dirinya dan pegawai-pegawai lain.

“Ada seorang dua pegawai yang diberi amaran untuk berhati-hati, bahawa mereka mungkin jadi sasaran seterusnya.

“Saya rasa perlu buat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya memetik laporan Malaysikini.

Ujarnya, serangan asid terhadap Faisal itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lagi pemain bola sepak, Akhyar Rashid, menjadi mangsa serangan dan samun yang menyebabkan kecederaan kepadanya di Terengganu.

Johan berkata, beliau pada mulanya menganggap serangan kepada Akhyar adalah serangan terpencil dan bukan sebahagian daripada komplot yang lebih besar.

Namun, katanya, serangan terhadap Faisal mengubah persepsi tersebut, memandangkan ia adalah tindakan yang berpotensi membunuh atau mencederakan dengan serius.

Johan menegaskan selepas kejadian itu, kelab telah meningkatkan keselamatan dan sentiasa berjaga-jaga kerana kejadian sebegini belum pernah berlaku di Malaysia.

“Selepas itu, pasukan segera meningkatkan keselamatan dan kami berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya kerana ini belum pernah terjadi sebelum ini di Malaysia,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa kelabnya telah mengambil langkah keselamatan tambahan termasuk mengupah kakitangan keselamatan persendirian dan menempatkan pemain yang belum berkahwin di sebuah hotel bagi memastikan keselamatan mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button