Anak dibenar lawat Faisal Halim, dapat jamah ayam penyet
PUTRAJAYA – Pemain kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim telah menunjukkan perkembangan baik dalam pemulihannya serta beliau berasa terharu dengan keprihatinan dan sokongan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan, penyokong dan Selangor FC.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pemainnya, Faisal Halim, berada dalam keadaan baik dan menunjukkan perkembangan positif sejak menerima rawatan di hospital hampir dua minggu lalu.
“Faisal menunjukkan perkembangan yang amat baik. Dia semakin ceria selepas dapat berjumpa dengan anak-anaknya walaupun dari jarak jauh,” kata Shahril.
“Faisal juga dikatakan sudah mula makan dan baru sahaja menikmati hidangan Ayam Penyet,“ katanya kepada media.
Tambahnya, doktor yang merawat Faisal membenarkan anak-anaknya untuk melawat dari jarak jauh bagi memberikan sokongan moral yang sangat diperlukan oleh beliau.
“Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi Faisal dalam proses pemulihannya,” katanya.
Dalam pada itu, Faisal dijadualkan untuk menjalani pembedahan ‘split skin graft’ (SSG) minggu depan, selepas berjaya dalam tiga pembedahan lalu.
“Pembedahan ini adalah langkah seterusnya dalam rawatannya dan dijangka dapat mempercepat proses penyembuhannya,” katanya.
Katanya, sokongan dan doa daripada semua pihak ternyata memberikan kesan positif terhadap semangat Faisal.
“Dia menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaan kepada semua yang telah mendoakan kesihatannya sepanjang tempoh yang mencabar ini.
“Kita doakan yang terbaik untuk Faisal. Semoga beliau terus menunjukkan kemajuan dan dapat kembali beraksi di padang tidak lama lagi,” ujarnya lagi.