Jenayah & Mahkamah

Tiga warga asing disyaki ada kaitan dengan lelaki Israel sudah dihantar pulang ke negara asal

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga asing yang disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom sudah dihantar pulang ke negara asal.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tindakan penghantaran pulang itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi proses pemindahan imigran-imigran larangan daripada Malaysia setelah kesemua mereka dibebaskan.

“Ketiga-tiga lelaki dipindah keluar dari negara ini untuk ke negara asal mereka iaitu Amerika Syarikat, Turkiye dan Georgia, bermula kelmarin dan semalam.

“Ketiga-tiga suspek termasuk tujuh warga tempatan dibebaskan 10 Mei lalu di bawah jaminan polis,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas mengenai bebas dengan jaminan bagi tujuh lelaki tempatan, Rusdi memaklumkan kesemua mereka boleh ditahan semula sekiranya ada bukti baharu.

Pada 19 April lalu, Rusdi mengesahkan 10 daripada 18 individu ditahan bagi siasatan kes berkaitan lelaki Israel, Avitan Shalom.

Daripada jumlah itu, tiga terdiri suspek utama iaitu Avitan dan pasangan suami isteri telah pun dituduh di mahkamah, manakala lima lagi dibebaskan.

10 lagi individu yang sebelum ini dikenakan tahanan reman bagi siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api ditahan semula di bawah SOSMA.

Siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Show More

Related Articles

Back to top button