Berita SemasaSukan

Terbuka Thailand: Jun Hao cemas sebelum mara ke pusingan seterusnya

BANGKOK – Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, membuat kem Malaysia berdebar apabila terpaksa bermain dalam perlawanan tiga set yang sengit menentang lawan dari Taiwan.

Namun, Juara KL Masters 2023 itu akhirnya berjaya mengekalkan rekod tanpa kalahnya selepas dua pertemuan dengan Su Li Yang dengan keputusan 14-21, 21-15, 21-17, sekali gus melangkah ke pusingan seterusnya.

Pasangan beregu muda negara, Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, menampilkan persembahan yang bertenaga apabila berjaya mengesahkan slot ke pusingan 16 Terbuka Thailand dengan keputusan 16-21, 21-13, 21-16.

Mereka mara selepas menewaskan pasangan dari Chinese Taipei yang berada di ranking 21 dunia, Lu Ching Yao dan Yang Po Han, dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama 63 minit.

Dalam pada itu, pasangan beregu Haikal Nazri-Choong Hon Jian mencatat kemenangan bersih apabila dengan mudah menewaskan pasangan beregu Scotland, Christopher Grimley dan Matthew Grimley.

Perlawanan yang berlangsung selama 32 minit itu berakhir dengan kemenangan straight set 21-16, 21-11.

Juara Orleans Masters itu berjaya menepis cabaran lawan yang berada di kedudukan ranking ke-48 dunia.

Dengan kemenangan ini, beregu Haikal Nazri dan Choong Hon Jian berjaya melangkah ke peringkat seterusnya dalam saingan Terbuka Thailand, sekali gus memberikan harapan Malaysia untuk meraih lebih banyak kejayaan dalam kejohanan ini.

Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasangan beregu muda, Goh Boon Zhe dan Beh Chun Meng yang baru membuat penampilan pertama mereka sebagai pelapis beregu baharu.

Kedua-dua pasangan tersebut terpaksa akur dengan kekalahan selepas pihak lawan dengan mudah menewaskan mereka dengan keputusan 20-22, 12-21.

Show More

Related Articles

Back to top button