Berita Semasa

Masak mi segera di kawasan pam minyak, polis buka kertas siasatan

BENTONG – Pihak polis sudah membuka satu kertas siasatan berhubung video tular yang memaparkan sekumpulan individu memasak mi segera di kawasan sebuah pam minyak di Genting Highlands, di sini baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pihaknya menerima satu laporan pada pukul 12.35 tengah hari semalam berhubung klip video berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, klip video berkenaan dimuat naik pada 13 Mei sebelum menjadi tular di laman sosial X.

“Klip video berdurasi kira-kira 50 saat memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak stesen minyak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya, satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan (menyebabkan kegusaran awam) dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri).

“Mana-mana pihak yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya menambah, operasi bersepadu akan dijalankan di sekitar kawasan itu dengan lebih kerap terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam.

“Pihak polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganguu ketenteraman awam,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button