Ujian penggunaan kod QR bakal diguna di pintu masuk utama negara
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam proses melaksanakan ujian penggunaan kod QR dalam usaha melancarkan pergerakan di pintu masuk utama negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, maklumat lanjut berkaitan inisiatif itu akan diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat.
“Ini komitmen imigresen dan KDN untuk menangani kesesakan di pintu masuk utama negara, inisiatif ini berterusan dari peringkat KDN dan pelaksanaannya adalah imigresen, bukan sahaja di Johor Bahru (Johor), malah di pintu masuk lain termasuk udara.
“Cara yang kita teroka adalah pelaksanaan kod QR. Memang kita tengah teroka, buat kajian dan sekarang ini kita tengah buat ujian manakala pengumuman mengenai perkara ini akan dibuat oleh KDN kerana perkara ini masih belum dilaksanakan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa aspek keselamatan turut menjadi keutamaan pihaknya disamping mencari jalan penyelesaian bagi mempermudah serta mempercepat pergerakan di pintu masuk negara.
“Aspek keselamatan ini termasuk daftar keluar masuk kita kena pegang, rekod kita kena ada, mereka yang ada senarai disyaki, senarai hitam dan sebagainya, kita ada rekod (semua itu),” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa JIM bakal melaksanakan sistem kod QR di pintu masuk antarabangsa negara.
Cadangan berkenaan merupakan inisiatif jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.
Antara langkah lain termasuk memendekkan proses pas penggajian daripada 15 hari kepada lima hari oleh JIM dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).