28 maut dalam ‘tsunami gunung’ di Barat Sumatera
SUMATERA – Sekurang-kurangnya 28 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dan ramai dipercayai masih hilang akibat banjir kilat berpunca daripada aliran ‘lahar sejuk’ melanda Barat Sumatera, Indonesia.
Agensi mencari dan menyelamat Basarnas dalam kenyataan berkata, bencana berupa ‘tsunami gunung’ yang melanda daerah di Tanah Datar dan Agam itu berlaku selepas hujan lebat pada pukul 10.30 malam semalam.
“Hujan turun selama beberapa jam menyebabkan sisa lahar Gunung Marapi berupa selut, pasir dan batu kerikil dari hanyut bersama banjir kilat.
“Setakat ini 28 orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun lapan bulan disahkan maut, manakala empat lagi masih hilang di daerah Agam,” katanya memetik laporan agensi Reuters.
Ketua Operasi Basarnas Wilayah berkenaan, Abdul Malik berkata, pencarian akan diteruskan di dua daerah yang terjejas.
Pihak berkuasa kerajaan juga menyediakan pusat pemindahan dan pos kecemasan di beberapa tempat di dua daerah itu.
Lahar sejuk adalah fenomena yang berlaku selepas hujan lebat yang membawa turun sisa lahar di lereng gunung ke kawasan penempatan.
Kejadian itu berlaku kira-kira dua bulan selepas banjir besar yang melanda pulau yang sama.
Dalam video yang tular sejak malam tadi, banjir selut berwarna hitam yang turut membawa batu-batu besar menenggelamkan jalan-jalan di beberapa perkampungan di Sumatera Barat itu.
Minggu lalu, 15 orang terbunuh di Sulawesi Selatan selepas tanah runtuh dan banjir menghanyutkan rumah dan jalan raya rosak.
Pada bulan Mac, sekurang-kurangnya 26 orang telah ditemui mati selepas tanah runtuh dan banjir melanda Sumatera Barat.
.