Berita Semasa

Kelewatan terima helikopter Black Hawk tidak jejas operasi, tugasan ATM

ISKANDAR PUTRI – Isu kelewatan helikopter Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) yang disewa tidak menjejaskan operasi dan tugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tugasan dan operasi pasukan masih berjalan seperti biasa, namun akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berkesan dengan penggunaan helikopter berkenaan.
Ini kerana, tambahnya, helikopter terbabit adalah keperluan untuk mengangkut peralatan dan barang makanan di di pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Itu (helikopter Black Hawk) untuk Tentera Darat, (tetapi) kita ada helikopter lain. Kita ada banyak helikopter, Tentera Udara (Diraja) Malaysia ada (helikopter) sebagainya.
“Saya kena tunggu laporan dan ambil maklum helikopter itu memang tak dapat disediakan (syarikat kontraktor) dalam masa yang ditetapkan, jadi keputusan akan dibuat.
“Kita sudah tahu, syarikat (terbabit) tak dapat ikut apa yang telah ditetapkan. Itu sebab saya perlu ada dalam mesyuarat (untuk mengetahui caj dan penalti),” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ketika diminta mengulas perkembangan terkini sewaan helikopter Black Hawk pertama yang lewat.
Terdahulu, Mohamed Khaled menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) tahun 2024 kepada 475 veteran dan wakil veteran, di sini hari ini.
Semalam, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilaporkan sebagai berkata, TDM akan mengusulkan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk berkenaan kepada Kementerian Pertahanan ekoran kelewatan penghantaran pertama.

Show More

Related Articles

Back to top button