Pelbagai acara menarik akan diadakan sempena ulang tahun PKR ke-25
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya dengan menganjurkan satu karnival terbuka di Sentul Depot pada 11 Mei.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata karnival yang disasar menarik pembabitan 10,000 pengunjung itu antara lain akan menyajikan pameran, wacana forum dan pelbagai pengisian menarik yang berkaitan dengan sejarah penubuhan parti.
“Sejarah penubuhan parti ini bermula dengan pelbagai rencam dan ujian sehingga mematangkan perjuangan, dengan kemuncaknya membawa kepada penglibatan PKR dalam sebahagian daripada tampuk pemerintahan negara, dan ia akan dipersembahkan dalam bentuk pameran, wacana forum dan lain-lain pengisian sepanjang karnival itu nanti.
“Sempena penganjuran karnival 25 tahun ini satu majlis kesyukuran turut dirancang sebagai acara sambutan, di samping majlis makan malam bagi meraikan pengorbanan dan sumbangan anggota,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Beliau berkata sempena sambutan itu PKR juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk membuka kaunter bergerak termasuk pembayaran saman, permohonan kad pengenalan dan pelbagai lagi.
“Pengunjung boleh mendapatkan baucar diskaun sebanyak 50 peratus untuk saman trafik Polis Diraja Malaysia, khas untuk 5,000 terawal.
“Karnival kali ini akan menyajikan aktiviti menarik lain seperti permainan tradisional rakyat, persembahan buskers dan persembahan artis seperti Aisha Retno, Kaka Azraff dan Datuk Zainal Abidin, selain jualan gerai dari pelbagai vendor tempatan,” katanya lagi.