Usahawan didenda RM80,000 guna kelengkapan komunikasi tidak diperakui – MCMC
CYBERJAYA – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM80,000 ke atas seorang usahawan kerana menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui, semalam.
Hakim membuat keputusan itu selepas Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah di atas empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
MCMC dalam satu kenyataan berkata, kelengkapan yang digunakan itu telah menyebabkan gangguan serius ke atas perkhidmatan rangkaian dan selular milik syarikat telekomunikasi tempatan.
“OKS yang merupakan lelaki tempatan berumur 36 tahun itu didakwa atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu SMS Blaster masing-masing di Kondominium Memoire Suites, Dua Central dan EkoCheras, Kuala Lumpur.
Bagi dua lagi pertuduhan, OKS didakwa di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 kerana menggunakan SMS Blaster itu dan telah menyebabkan gangguan
ke atas perkhidmatan rangkaian dan selular milik syarikat telekomunikasi yang berlesen,” kata MCMC, hari ini.
Bagi kesemua pertuduhan tersebut, OKS boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000.00 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Siasatan Bahagian Penguatkuasaan MCMC mendapati, modus operandi (MO) OKS adalah dengan memasang peranti SMS Blaster bersama antena di unit-unit kondominium yang bersebelahan dengan lebuh raya.
“Peralatan itu telah diubah suai menjadi stesen transceiver asas yang palsu (fake BTS) dan apabila telefon bimbit orang awam melalui berdekatan stesen transceiver tersebut, perkhidmatan rangkaian dan selular 4G akan terganggu dan turun ke perkhidmatan 2G setelah bersambung dengan rangkaian fake BTS itu tadi.
“Kesannya, orang awam mula menerima mesej-mesej iklan seperti iklan perkhidmatan pinjaman wang, iklan aktiviti perjudian dan sebagainya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” kata MCMC lagi.
Selain itu, aktiviti haram itu turut mengakibatkan masalah panggilan terputus (dropped calls) serta kualiti perkhidmatan Internet yang kurang memuaskan.