Dana kepada Iran : Kerajaan sedia berbincang dengan AS
PUTRAJAYA – Kerajaan sedia mengadakan libat urus dengan wakil dari Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan wujud aliran dana ke Iran dan proksinya, Hamas melalui sistem kewangan Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu terbabit telah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini dan perbincangan mengenainya masih berjalan.
“Isu ini sudah semestinya mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Kabinet, kami memandang serius perkara ini namun perbincangan mengenainya masih berjalan.
“Kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan sedia mengadakan libat urus dengan rakan sejawat dari AS untuk memahami apa kebimbangan sebenar mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Baru-baru ini, dilaporkan Pegawai Perbendaharaan AS akan melawat Malaysia dan Singapura minggu ini berikutan usaha Washington memerangi aliran dana ke Iran dan proksinya, Hamas.
Difahamkan, kunjungan daripada Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS (Keganasan dan Risikan Kewangan), Brian Nelson dijadualkan membincangkan mengenai kebimbangan AS serta risiko sekatan akibat daripada aktiviti sedemikian.
Ditanya lebih lanjut mengenai risiko sekatan yang akan diambil AS ke atas syarikat Malaysia, Fahmi berkata, kerajaan memandang serius perkara terbabit.
Tegasnya, Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat.
“Tetapi jika berlaku sekatan secara unilateral, kami perlu menangani situasi ini, kita akan ada libat urus dan saya percaya menteri berkaitan akan mengeluarkan kenyataan,” katanya lagi.