Tiada unsur politik disebalik pemberian duit raya – Dr Dzulkefly Ahmad
PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan wujud unsur politik di sebalik tindakan pengedaran duit raya kepada kakitangan hospital dan pesakit di Kuala Kubu Baharu, baru-baru ini.
Jelasnya, pemberian duit raya merupakan amalannya setiap kali beliau menyantuni kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pesakit di wad.
Bahkan, tindakan berkenaan dilakukan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
“Ke mana saya pergi buat lawatan ke hospital untuk menyantuni kakitangan dan pesakit, saya bagi duit raya.
“Ia secara peribadi daripada saya. Tidak terkait dengan pilihan raya,” kata beliau ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), di sini hari ini.
Dr Dzulkefly turut berkata, beliau sedia disiasat berhubung dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.
Jelas beliau, pemberian duit raya itu hanyalah berniat untuk menyantuni mereka yang ditemui dan bukanlah untuk tujuan meraih sebarang populariti.
“Siasatlah apa nak siasat pun. Tidak mengapa… Mereka akan tahu apa yang sebenarnya.
“Awak nak kata apa pun itulah. Saya bukan hendak cari populariti,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial gambar memaparkan sampul duit raya tertera gambar Dr Dzulkefly.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat Dr Dzulkefly di bawah dakwaan memberi ‘gula-gula’ kepada pengundi di Kuala Kubu Baharu.
Menurut laporan portal Free Malaysia Today, duit raya terbabit sebenarnya diberikan kepada kakitangan dan pesakit hospital di Kuala Kubu Baharu pada 27 April lalu.