Berita Semasa

Selangor jangka dapat noktahkan miskin tegar selewat-lewatnya Julai ini

HULU SELANGOR – Kemiskinan tegar di Selangor dijangka dapat dinoktahkan selewat-lewatnya Julai ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang berkata, berdasarkan taklimat Majlis Tindakan Pembangunan negeri, setakat ini masih terdapat 861 keluarga masih berada dalam kategori miskin tegar di Selangor.

“Ada sebahagian mereka yang hanya memerlukan tambahan RM17 lagi kepada pendapatan mereka untuk keluar daripada tahap kelompok kemiskinan setiap bulan,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan raya anak muda Batang Kali, di sini malam tadi.

Sehubungan itu, jelasnya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah diarahkan untuk menyalurkan lebihan dana Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), membabitkan pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada golongan berkenaan.

“Jadi, saya percaya dengan pemberian bantuan RM300 itu dicampur dengan zakat sebab (dalam jumlah senarai miskin tegar itu) kita ada 500 lebih masyarakat Melayu dan selebihnya bukan Melayu yang akan dapat kita tangani,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai isu Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli yang dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa, Amirudin berharap ia tidak dijadikan isu kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang sedang berlangsung.

“Biar SPRM jalankan tugas… kita (Pakatan Harapan) tak mahu mencatatkan kejayaan berdasarkan daripada bencana yang menimpa pihak lawan.

“Apa yang cuba ditampilkan PH ialah menunjukkan yang telah dicapai terutamanya sumbangan mendiang Lee Kee Hiong (penyandang kerusi DUN KKB) dan perkara yang bakal dilaksanakan oleh calon Pang Sock Tao di samping sokongan kuat program kebajikan dan pembangunan kerajaan negeri,” kata Naib Presiden PKR itu.

PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Sock Tao, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Show More

Related Articles

Back to top button