Jenayah & Mahkamah

Maritim Malaysia rampas 57 set bubu naga

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah merampas sebanyak 57 set bubu naga atau bubu kamban (China Prawn Net Trap) di dua lokasi di perairan Pulau Talang, Perak.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bubu itu dikesan oleh sepasukan bot ronda Maritim Malaysia apabila menemui bendera serta pelampung yang diikat pada pancang kayu mencurigakan di dua lokasi terbabit ketika sedang melaksanakan rondaan.

“Pemeriksaan mendapati bendera serta pelampung yang diikat pada pancang kayu berkenaan merupakan penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM4 ribu itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sekiranya didapati bersalah, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Modus operandi yang sering digunakan oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab bagi aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah bubu naga ini ialah dengan memasang bendera serta pelampung yang diikat pada pancang kayu untuk dijadikan penanda kepada lokasi bubu naga berkenaan dipasang,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Show More

Related Articles

Back to top button