Jenayah & Mahkamah

Bayi sembilan bulan maut dipercayai didera

JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan maut setelah dipercayai menjadi mangsa penderaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 3.50 pagi, 26 April lalu.

Katanya, polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan dari HSA berhubung mangsa pada 25 April lalu, ketika bayi perempuan warga asing berkenaan dimaklumkan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan disyaki didera.

Bertindak atas maklumat, katanya, polis menangkap dua rakan ibu mangsa yang juga warga asing dan seorang lelaki tempatan, iaitu teman lelaki kepada salah seorang daripada wanita itu, pada 10 malam, 25 April lalu.

“Turut ditahan pengasuh mangsa iaitu pasangan suami isteri warga tempatan.

“Tangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini dan semua suspek berusia antara usia 29 hingga 42 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih mengesan ibu mangsa yang merupakan seorang warga Vietnam.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama enam hari bermula 26 April oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati wujud elemen jenayah dalam kematian mangsa,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button