Putera Mohammed Salman berhasrat mengadakan lawatan ke Malaysia hujung tahun
RIYADH – Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman berhasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia menjelang akhir tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu dinyatakan semasa dialog khas Mohammed Salman bersama beberapa pemimpin negara lain termasuk Perdana Menteri Mesir, Jordan dan Pakistan di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini semalam.
Menurutnya lagi, selain mengukuhkan hubungan dua hala Putrajaya-Riyadh, Putera Mohammed menekankan agar Arab Saudi memberi tumpuan kepada pelaburan skala besar di Malaysia.
“Saya lihat beliau bersungguh-sungguh mahu supaya Malaysia diberi tumpuan dan dalam perbincangan dengan Menteri-Menteri dan syarikat (Arab Saudi) juga, nampak kesungguhan yang sama.
“Saya jumpa Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan (Arab Saudi) semalam pun sebut bahawa arahan itu jelas dan kita harap ini dapat dilaksanakan segera, terpulang kepada kesediaan dan tahap kecepatan kelulusan oleh agensi-agensi Malaysia,” katanya ketika ditemui media Malaysia, di sini hari ini.
Katanya lagi, beliau telah meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk menyelaras perkara itu.
Zafrul, yang turut serta dalam sidang media itu berkata, Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr Majid Abdullah Al-Qasabi akan melawat Malaysia minggu depan.
Dalam pada itu, Anwar turut membincangkan konflik di Gaza dengan Putera Mohammed dan menyatakan bahawa isu itu akan tetap menjadi keutamaan Malaysia.
“Saya meluahkan harapan agar negara-negara Islam bersepakat untuk menegaskan bahawa kekejaman Israel di Gaza tidak boleh berlanjutan dan dimaafkan,” ujarnya.
Dalam lawatan kerja tiga hari Anwar ke Arab Saudi itu, beliau turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin negara lain seperti Iraq, Rwanda, Jordan, Pakistan dan Qatar bagi memperkukuh hubungan dua hala terutama dalam bidang perdagangan serta pelaburan.
Hasil perbincangan Anwar dengan wakil beberapa syarikat antarabangsa didapati positif apabila mereka menyatakan minat untuk melabur di Malaysia.
Pada masa ini, Perdana Menteri berada di Arab Saudi bagi menyertai Mesyuarat Khas WEF yang berakhir hari ini.
Mesyuarat bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan’ yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dihadiri oleh lebih 1,000 peserta termasuk ketua-ketua negara dan kerajaan selain pemimpin perniagaan serta industri.