Anwar tekankan kepentingan iktiraf negara Palestin di PBB
RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan pembentukan negara Palestin di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Jordan, Bisher Khasawneh di sini semalam.
Anwar yang dijadualkan menghadiri mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh bermula semalam sehingga hari ini berkata, beliau turut menegaskan agar Jordan bersama dalam usaha mengheret Israel ke muka pengadilan untuk atas jenayahnya terhadap penduduk Palestin.
“Saya tegaskan kepentingan untuk Jordan bersama dalam usaha mengheret Israel ke muka pengadilan untuk dipertanggungjawabkan atas jenayah dan kekejamannya terhadap Palestin, selain turut menyatakan sokongan terhadap pembentukan negara Palestin di pentas PBB,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan buat Perdana Menteri, Bisher atas peranan yang dimainkan oleh Jordan di saat-saat genting dengan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada warga Palestin.
Tambah Anwar, beliau turut membincangkan beberapa perkara berkaitan kerjasama dan kepentingan kedua-dua negara antaranya pendidikan, perdagangan, pelaburan, pelancongan, pertahanan, perbankan Islam dan kesihatan.
“Saya dan PM Bisher antara lain sepakat untuk memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama perdagangan Malaysia-Jordan, antaranya dalam sektor pelancongan dan pertahanan,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia dan Jordan turut bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam penyediaan perkhidmatan pembiayaan perdagangan Islam serta kerjasama membabitkan kepakaran syariah, kajian dan undang-undang perbankan untuk meneroka bidang baharu yang khusus seperti inovasi, teknologi kewangan dan kemampanan.