Berita Semasa

LIMA 2025 akan dianjurkan pada 20-24 Mei tahun hadapan

KUALA LUMPUR – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LlMA ’25) akan dianjurkan pada 20 hingga 24 Mei 2025 bertemakan Innovate Today, Thrive Tomorrow.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari bersama Ketua Ketua Agensi dan penganjur LIMA’25

LIMA ’25 merupakan anjuran bersama Kementerian Pertahanan (Mindef) dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, LIMA ’25 yang memasuki edisi ke-17 telah mendapat sambutan awal yang menggalakkan oleh syarikat dari dalam dan luar negara, walaupun dilancar hari ini.

“Ini membuktikan bahawa pameran LIMA ialah sebuah acara yang dinanti-nantikan oleh pemain tempatan dan antarabangsa industri aeorangkasa dan maritim,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Adly berkata, GEC telah menjalinkan kolaborasi strategik bersama Arabian World Events, QUBE Integrated Malaysia Sdn Bhd, SHP Media Sdn Bhd, Curio Pack Sdn Bhd, Malaysian Aerospace Industry Association (MAIA) dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT).

“GEC masih berterusan berbincang bersama dengan rakan strategik yang berpotensi untuk membawa LIMA’ 25 ke tahap memberikan impak positif kepada negara dan juga industri.

“LIMA ’25, akan mengetengahkan beberapa segmen baru bagi menarik lebih banyak penyertaan daripada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana, untuk kedua-dua segmen aeroangkasa dan maritim,” katanya.

Adly turut memaklumkan, edisi kali ini turut menerima penyertaan daripada institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta yang memiliki kepakaran industri aeroangkasa dan maritim.

“Ini merupakan hasrat dan inisiatif daripada Mindef untuk menjadikan LIMA sebagai sebuah pusat perkembangan industri dan pembangunan sumber manusia,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button