PM tubuh Jawatankuasa Penasihat Dasar Kepada Perdana Menteri – PMO
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Dasar Kepada Perdana Menteri (PMAC) bagi memberi nasihat soal pembangunan negara dan daya tahan ekonomi sejajar dengan Ekonomi Madani.
Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh bekas Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican.
Selain itu, jawatankuasa tersebut turut dianggotai Pengerusi Eksekutif FVSB Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi, Profesor Dr Yeah Kim Leng dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Nungsari Ahmad Radhi.
“Jawatankuasa yang dilantik ini tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.
“Penubuhan jawatankuasa ini susulan berakhirnya tempoh Jawatankuasa Penasihat Kepada Menteri Kewangan (ACFIN) pada Februari 2024 yang juga dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd. Hassan Marican,” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini hari ini.
Jelasnya, cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh ACFIN telah dipertimbangkan dan sebahagiannya kini dalam proses pelaksanaan.