Kerajaan setuju pertimbang salur peruntukan kepada pembangkang
Akan draf MOU bagi rundingan seterusnya
PUTRAJAYA – Kerajaan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, perkara itu telah dipersetujui Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, yang bermesyuarat di Sri Perdana, di sini semalam.
“Perkara ini dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” kata Fadillah dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, sehubungan itu, satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.