Pertandingan pakaian beragam janda-janda dibatalkan
KUALA LUMPUR – Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh di Pahang yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini dibatalkan.
Penganjur program berkenaan yang dikenali sebagai Uncle John berkata, penganjurannya dibatalkan setelah mendapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk pemimpin politik selepas poster program itu tular di media sosial, semalam
“Pada mulanya, program itu diadakan sekadar suka-suka sahaja dan hanya melibatkan kumpulan karaoke kami bagi memeriahkan majlis rumah terbuka Aidilfitri nanti.
“Bagaimanapun, poster itu mula tersebar secara meluas di media sosial sehingga ke peringkat pihak berkuasa yang kemudian menghubungi saya supaya membatalkan program berkenaan,” katanya memetik dari satu laporan portal berita.
Dalam pada itu, Exco Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, program itu di luar pengetahuannya.
Kata Syed Ibrahim lagi, program itu tidak wajar sama sekali dilaksanakan di negeri itu.
“Bantah (pertandingan beragam). Bukan di kawasan saya (Kerdau). Tidak pernah ada kelulusan sedemikian.
“Sebab itu penganjur tak tanya saya, memang tidak akan setuju. Benda ni memang tak wajar,” tegas beliau.
Sebelum ini, satu poster memaparkan maklumat berkaitan program tersebut yang bakal diadakan pada pukul 9 malam di Taman Tasik Chatin Mentakab, Temerloh, tular di media sosial, semalam.
Menurut poster itu, penyertaan pertandingan tersebut adalah terbuka kepada wanita yang berusia 20 tahun ke atas secara percuma dan ‘walk-in’.
Sehubungan itu, program tersebut turut menyediakan jamuan raya manakala hadiah pertandingan pula ditaja oleh Uncle John serta seorang lagi penaja yang dikenali sebagai Mama Zana.