Sub- kontraktor punca kelewatan kolam selam tempur di Mersing
KUALA LUMPUR – Isu kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing dikenal pasti berpunca daripada masalah sub kontraktor yang tidak dapat melaksanakan kerja-kerja mengikut jadual.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun memaklumkan pembinaan projek itu sudah berada pada peringkat 90 peratus siap.
“Ada masalah dengan sub-kontraktor dilantik yang tak dapat jalankan projek tersebut, macam kerja elektrik dan sebagainya, maka kita terpaksa cari (yang baru).
“Kebanyakannya mereka ini adalah pakar dan ada keupayaan, tak mudah untuk dicari ganti serta proses nak ganti itu perlu melalui tender dan sebagainya, maka ia memakan sedikit masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada lawatan projek perumahan ‘Satu Anggota Satu Rumah’ (SASaR) untuk warga Angkatan Tentera Malaysia di Sungai Besi, petang tadi.
Isu projek yang sepatutnya siap pada Disember 2022 tersebut dititahkan Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam yang mahu supaya disiapkan segera.
Jelas Mohamed, pelaksanaan projek itu terletak di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) walaupun ia merupakan aset Kementerian Pertahanan.
“Kami dapat jaminan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), projek ini diberi perhatian serius dan harap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.