PM Anwar zahir rasa syukur Nadir dan keluarga bersatu semula
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur selepas keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berjaya dibawa keluar dari Gaza.
Anwar dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi berkata, pihaknya turut menyatakan penghargaan tidak terhingga buat Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi dan Kerajaan Mesir atas kerjasama yang diberikan.
“Alhamdulillah, keluarga saudara Nadir berjaya disatukan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Muhammad Nadir Al-Nuri dalam satu perkongsiannya mendedahkan, Perdana Menteri merupakan watak penting yang berusaha membawa keluarganya keluar dari Gaza.
Katanya, sehari sebelum Aidilfitri, pihaknya dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri yang kerap menjemputnya ke pejabat di Putrajaya bagi bertanyakam keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza.
“Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan Sani saja dibenarkan ke sana! Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie.
“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” katanya.
Muhammad Nadir Al-Nuri yang menyifatkan misi membawa keluarganya keluar dari Gaza sebagai ‘misi gila’ itu juga kagum dengan pendekatan diplomasi yang digunakan Perdana Menteri untuk membantu keluarganya.
Ia kerana bukan mudah untuk keluar dari Gaza ketika bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus di Gaza, selain ketegangan di sempadan yang berlanjutan.
“Namun secara senyap pemimpin negara (Anwar) menghubungi pihak sana. Ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” katanya lagi.