Aidilfitri di USA dicemari insiden tembakan
PHILADELPHIA – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di kawasan kejiranan Parkside di sini bertukar tragedi apabila tiga cedera dalam insiden tembakan rambang.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang yang dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu itu, lima pemuda yang dipercayai mengepalai serangan ditahan polis.
Pesuruhjaya Polis, Kevin Bethel berkata, dua orang cedera terkena tembakan dalam insiden dipercayai melibatkan anggota dua kumpulan.
“Seorang suspek berusia 15 tahun cedera akibat terkena tembakan di kaki dan bahu oleh polis.
“Suspek yang bersenjata itu berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke hospital.
“Kesemua lima senjata yang digunakan dalam kejadian itu berjaya dirampas” katanya.
Sementara itu, seorang kanak-kanak mengalami patah kaki akibat dilanggar kenderaan polis ketika melarikan diri ketika kekecohan berlaku.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Polis Negeri Pennsylvania berkata, pihaknya sedang membantu polis Philadelphia melakukan siasatan.
Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro dalam hantaran di platform media sosial X menyifatkan sambutan Aidilfitri yang sering kali berlangsung secara aman di negeri itu tidak sepatutnya dicemari keganasan.
“Sambutan Aidilfitri harus sentiasa menjadi hari kemenangan bagi bagi kejiranan Islam – saya berduka bagi setiap komuniti Islam Philadelphia yang acara mereka dihancurkan oleh keganasan senjata api,” katanya memetik laporan berita luar.