Jenayah & Mahkamah

Kontraktor tidak mengaku salah sebabkan kematian dua beradik

Didakwa memandu secara berbahaya menyebabkan kemalangan yang mengorbankan Zuhal dan Marikh

SUNGAI SIPUT – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua beradik, baru-baru ini.

Lee Kin Peng, 52, didakwa memandu pacuan empat roda dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian kepada Ahmad Zuhal Norazlan, 17.

Lelaki itu juga didakwa atas pertuduhan sama sehingga menyebabkan kematian kepada Ahmad Marikh Norazlan, 13.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di sini, antara pukul 7.00 hingga 7.15 pagi, pada 5 April 2024.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda minimum RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S Vitthiyeswary mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap dua minggu, lesen memandu digantung, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak boleh mendekati saksi kes.

Bagaimanapun, peguam S Morgan merayu jaminan RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan, dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan selain sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang kesemuanya masih belajar.

Majistret, Nurul Asyifa Redzuan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 secara kolektif untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan dengan pasport diserahkan kepada mahkamah, serta tertuduh dilarang mengganggu saksi kes.

Show More

Related Articles

Back to top button