Berita Semasa

Kerajaan salurkan wang ehsan kepada Kelantan, Terengganu

PUTRAJAYA – Kerajaan telah menyalurkan Wang Ehsan sebanyak RM172.3 juta kepada Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan, minggu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bertujuan membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri selain bayaran RM103.1 juta untuk obligasi kerajaan Terengganu kepada kontraktornya.

Menurutnya lagi, kerajaan Madani komited memastikan Wang Ehsan dikhususkan untuk manfaat Terengganu dan Kelantan.

“Keutamaannya kepada perbelanjaan yang benar-benar membantu rakyat Terengganu dan Kelantan.

“Kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan serta cadangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan berhubung penggunaan Wang Ehsan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat Terengganu dan Kelantan,” katanya menerusi kenyataan media.

Sehubungan itu, Anwar turut menjelaskan bahawa sebarang baki Wang Ehsan akan tetap digunakan untuk Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat.

Ia termasuk program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri itu.

“Berhubung dengan pemberian Wang Ehsan, ia bukan pemberian kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam undang-undang.

“Namun demikian, kerajaan Madani menyalurkan Wang Ehsan petroleum sebanyak RM786 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM200 juta kepada kerajaan Kelantan pada tahun 2023,” ujarnya.

Kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal Pemberian kepada semua kerajaan negeri.

Ia dicerminkan melalui peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri serta Peruntukan Pembangunan untuk semua negeri bagi tahun 2023 dan 2024.

Pemberian Negeri disalurkan kepada semua negeri secara serentak setiap bulan

Show More

Related Articles

Back to top button