Jenayah & Mahkamah

Bekal senjata kepada warga Israel, suami isteri tidak mengaku salah atas pertuduhan berbeza

KLANG – Pasangan suami isteri yang didakwa membekal senjata api kepada seorang warga Israel, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang berbeza di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Wanita tersebut, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, didakwa atas pertuduhan memiliki pistol jenama Luger, hujung bulan lalu.

Sementara itu, suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, didakwa atas pertuduhan berada bersama-sama wanita itu yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia mengetahui isterinya memiliki senjata tersebut.

Pasangan suami isteri tersebut membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka hadapan Hakim, Sharifah Hascindie Syed Omar.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azim didakwa ada bersama dengan Syarifah Faraha yang memiliki senjata api iaitu satu pistol jenama CZ 75 P-01 CAL. 9 Luger.

Ia menimbulkan anggapan yang munasabah bahawa dia didakwa mengetahui bahawa isterinya itu memiliki senjata api tersebut dengan menyalahi undang-undang, di Jalan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing di sini pada pukul 8 malam, 29 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara selama 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu Syarifah Faraha didakwa didapati dalam milikannya senjata api yang menyalahi undang-undang tersebut, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara selama 14 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Show More

Related Articles

Back to top button