Berita Semasa

Mayat mangsa arus deras ditemukan 10km dari tempat kejadian

SERI KEMBANGAN – Mayat wanita warga Indonesia yang dilaporkan hilang bersama anak perempuannya berusia empat tahun selepas dihanyutkan arus deras ketika menjala di saliran longkang monsun, di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan, petang semalam, ditemukan lemas tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata, mayat wanita berusia 38 tahun itu ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat di Lombong D’Island berhampiran Taman Lacattage, Putra Perdana di sini kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.

“Mayat ditemukan pada 12.17 tengah hari dan telah disahkan oleh suami mangsa. Usaha mengesan anak perempuannya sedang giat dijalankan,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, sepasang suami isteri warga Indonesia dan tiga anak mereka yang berusia antara empat hingga 10 tahun, dilaporkan sedang menjala di saliran longkang monsun di kawasan itu sebelum tiba-tiba datang arus deras.

Kejadian itu menyebabkan kelima-lima mangsa tergelincir dan terjatuh sebelum dihanyutkan ke sebuah sungai berhampiran.

Bagaimanapun, suami dan anak lelaki kedua keluarga itu yang berusia sembilan tahun berjaya menyelamatkan diri manakala anak sulung pasangan itu berusia 10 tahun ditemukan lemas semalam pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.

Show More

Related Articles

Back to top button