Jenayah & Mahkamah

Kakitangan cemerlang dituduh cabul rakan sekerja

KOTA BHARU – Seorang bekas kakitangan pejabat kerajaan negeri yang juga penerima beberapa kali anugerah pekerja cemerlang dituduh atas kesalahan mencabul rakan sekerja di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Syahrul Nizam Shuib, 45 tahun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dibacakan di depan Majistret, Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan bekas pegawai Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam itu telah menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan wanita di pejabat Bahagian Perkhidmatan pada pukul 9.30 pagi, 12 Oktober 2023.

Pertuduhan kedua pula, suspek dituduh melakukan perkara yang sama di pejabat yang sama pada pukul 9.30 pagi pada 26 Oktober 2023, memetik laporan Berita RTM.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Fariduddin Mat Noor.

Dalam rayuannya, tertuduh dikenakan ikat jami sebanyak RM8,000 seperti mana dicadangkan oleh Syazalia.

Menerusi rayuan, peguambela yakin tertuduh tidak akan mengganggu mangsa, keluarga dan saksi kes.

Tertuduh juga merayu kerana masih menanggung seorang isteri, dua anak serta ibu bapa yang sudah uzur.

Mahkamah juga dimaklumkan tertuduh tidak pernah memiliki rekod jenayah lampau dan pernah beberapa kali menerima anugerah perkhidmatan cemerlang sepanjang 23 tahun berkhidmat.

Tertuduh membayar jaminan wang (dikurangkan) sebanyak RM5,000 yang dikenakan dan Majistret menetapkan 28 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Show More

Related Articles

Back to top button