Berita SemasaPM X

JAKIM ajak orang ramai sertai Majlis Iftar MADANI di Putrajaya, esok

PUTRAJAYA – Seramai 10,000 orang dijangka membanjiri Bulatan Dataran Putra di sini esok, bagi menyertai Majlis Iftar MADANI (MIM) bersempena cuti Nuzul Quran.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini memaklumkan, program yang julung kali diadakan itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 7 petang.

Program berkenaan adalah anjuran bersama JAKIM dan Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama 14 agensi Agama Persekutuan dan rakan-rakan strategik lain termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM.

“Objektif majlis ini adalah untuk merapatkan persaudaraan dan kebersamaan masyarakat melalui perkongsian rezeki dan sekali gus dapat bersama-sama berbuka puasa dengan Perdana Menteri.

“Selain itu, ia membuka ruang kepada agensi kerajaan bersama Perdana Menteri untuk mendekati, menyantuni serta merasai kondisi pelbagai lapisan rakyat di negara ini, di samping menyuburkan semangat rahmah dan perpaduan di negara ini,” kata JAKIM.

Konsep program berkenaan adalah bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI yang dicetuskan Perdana Menteri, antara lain menekankan nilai hormat, ihsan dan kebersamaan sesama ahli masyarakat.

Tambahnya, sebanyak 10,000 pek juadah dan bubur lambuk Kampung Baru disediakan kepada tetamu yang akan berbuka puasa beramai-ramai secara santai dan secara duduk bersila bersama-sama Anwar.

Antara tetamu yang bakal hadir termasuk Jemaah Menteri dan pengurusan tertinggi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), belia, orang awam, kanak-kanak dan 180 asnaf di Wilayah Persekutuan, selain pelancong asing yang ingin menimba pengalaman menikmati juadah berbuka puasa di negara ini.

Antara acara menarik yang turut diadakan adalah persembahan nasyid daripada kumpulan Zawfan dan Awla, tazkirah santai oleh Ustaz Norazam Bahadur dan Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee serta tausiyah Ramadan oleh Ketua Sekretariat Duat Al Falah, Ustaz Abdul Hadi Bakri.

Bagi memudahkan pergerakan, bas ulang-alik (shuttle bas) turut disediakan di ‘checkpoint’ Hentian Suasana PJH ke Masjid Putra dan kenderaan boleh diparkir di Suasana PJH dan CIMB Presint 2 (Selatan) atau di kawasan parkir berhampiran Kompleks Pejabat Perdana Menteri.

“Justeru, bagi memeriahkan lagi majlis tersebut, segenap lapisan masyarakat adalah dijemput hadir beramai-ramai bersama keluarga ke MIM esok di Bulatan Dataran Putra mulai pukul 5.30 petang sehingga 8 malam,” kata hantaran itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button