Berita Semasa

Pemandu Mercedes hitam tukar lorong tiba-tiba punca lori rempuh 10 kenderaan

JOHOR BAHRU – Tidakakan seorang pemandu sebuan kenderaan yang menukar lorong secara tiba-tiba menjadi punca sebuah lori treler merempuh 10 kenderaan di laluan bertentangan di Kilometer 11.1 Lebuhraya Pasir Gudang menghala Perling, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan membabitkan 12 kenderaan iaitu lapan kereta, tiga lori dan sebuah treler itu berlaku pada jam 4.20 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Mercedes Benz dari arah Perling yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an telah mengubah haluan dari lorong tengah masuk ke lorong kanan.

Tangkap layar video kejadian 11 kenderaan dirempuh sebuah treler di Lebuhraya Pasir Gudang pada petang Isnin.

“Akibatnya sebuah lori treler yang berada di lorong kanan tidak dapat mengelak lalu melanggar Mercedes Benz dan terbabas masuk laluan bertentangan seterusnya melanggar 10 kenderaan yang berhenti di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.

Menurut Raub, dua pemandu wanita dan seorang pemandu lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 60-an mengalami cedera ringan iaitu luka di bahagian muka dan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta saksi yang melihat kejadian kemalangan itu agar tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan kepada polis atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek di talian 014-6977122,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button