Maritim Malaysia tahan bot pukat jerut bilis
LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot pukat jerut bilis kerana melakukan pelbagai kesalahan di barat laut Pulau Pangkor, semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bot itu dikesan pihak berkuasa ketika sedang leka menangkap ikan dalam rondaan rutin melalui Op Sayong, Op Pintas, Op Tanjung, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut di perairan Perak.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan enam kru warga tempatan, tujuh kru warga Indonesia dan dua kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 20 hingga 69 tahun.
“Kesemua nelayan ditahan, manakala bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang dari 15 batu nautika dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Sementara itu, beliau menyarankan orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkenaan salah laku di perairan negara dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau melalui MERS 999 untuk maklum balas segera