Diugut bunuh, Dr Akmal buat laporan polis
JASIN – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menegaskan tidak akan berganjak walaupun menerima ugutan bunuh susulan kelantangan dalam isu kalimah Allah pada stoking, baru-baru ini.
Kata Dr Akmal, beliau menganggap ugutan tersebut sebagai satu ‘perkara biasa’ dalam berjuang mempertahankan kesucian agama Islam.
“Ini tidak akan mematahkan semangat atau memberi kesan terhadap apa yang saya rasakan betul untuk dipertahankan kerana ia bukanlah isu politik dan perkauman.
“Ia adalah isu bagaimana kita umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk membela agama kita daripada dihina.
“Walaupun dengan ugutan yang ada ini, saya tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kami,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut bahawa Dr Akmal dimaklumkan mengenai ugutan bunuh tersebut selepas dihubungi seorang individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke satu program rasmi, hari ini.
Lelaki itu didakwa memberitahu Dr Akmal beliau terdengar satu perbualan lisan di sebuah kedai yang mengatakan jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu terus bercakap tentang KK Mart berkaitan isu stoking kalimah Allah, dia pasti ditembak mati satu hari nanti.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi mengesahkan menerima laporan itu.