Kerajaan arah tiada kerja baik pulih jalan sepanjang dua minggu musim Aidilfitri
PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan agar kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih jalan diselesaikan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum Aidilfitri.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam berkata, arahan itu bertujuan menjamin keselesaan pengguna jalan raya ketika pulang ke destinasi dituju sepanjang sambutan tersebut.
“Bagi projek-projek penyelenggaraan atau pembinaan jalan yang memerlukan masa lebih panjang untuk disiapkan, kementerian akan meminta mereka memberhentikan sementara kerja-kerja pembaikan atau pembinaan jalan di lokasi-lokasi terlibat.
“Inisiatif ini sangat penting supaya tiada apa-apa gangguan atau halangan kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh perayaan ini hanya disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya dijalankan syarikat konsesi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau juga mengingatkan semua syarikat konsesi agar kerosakan pada mesin pengesan kad di plaza tol dibaik pulih sebelum musim perayaan tiba.
Kementerian juga meminta syarikat konsesi untuk memastikan keberadaan petugas-petugas khas yang akan memberi khidmat bantuan serta-merta kepada pengguna berdepan masalah di setiap plaza tol.
Dalam pada itu, Hasnol meminta pihak berkuasa tempatan dan syarikat konsesi menyediakan satu pelan perancangan trafik di kawasan-kawasan terlibat kerja penyelenggaraan atau pembinaan jalan raya seliaan mereka.
Katanya, inisiatif penyediaan jalan sehala, laluan kontra, laluan bypass atau jambatan sementara memainkan peranan penting dalam memastikan pengguna jalan raya tidak berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang tidak sepatutnya pada musim perayaan.
“Arahan ini turut tertakluk kepada syarikat-syarikat yang melaksanakan projek pembinaan jalan raya baharu seperti syarikat pembinaan Lingkaran Tengah Utama dari Bentong, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan,” ujarnya